PENERIMAAN PENGGERAK MASYARAKAT ORANG ASLI (PMOA) TERHADAP KONSTRUK KOMPETENSI PENDAKWAH ORANG ASLI

Authors

  • Ayuni Nazuha Mohd Rosli UKM
  • Abdul Ghafar Don UKM

Abstract

Pelaksanaan dakwah terhadap masyarakat Orang Asli mempunyai cara dan isi kandungan yang khusus kerana mereka memiliki perbezaan gaya hidup, adat, kepercayaan dan pantang larang yang menjadi sebahagian daripada tradisi kehidupan mereka. Pendakwah perlu mempunyai keselarasan dalam penyampaian ajaran Islam supaya dapat memberi keberhasilan dalam berdakwah terutama terhadap masyarakat Orang Asli. Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti kandungan dan menganalisis penerimaan Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap konstruk kompetensi pendakwah Orang Asli. Data kajian ini diperolehi dengan menggunakan kaedah kuantitatif melalui kajian tinjauan dengan mengedarkan borang soal selidik kepada 30 orang PMOA yang berkhidmat selama 5 tahun ke atas. Sampel yang diambil dari dua buah negeri iaitu PMOA daripada Negeri Sembilan dan Selangor. Konstruk yang dibina berdasarkan tinjauan awal iaitu melalui tinjauan terhadap literatur yang mempunyai kesesuaian dengan keperluan penggerak Orang Asli dalam menyampaikan dakwah. Konstruk tersebut adalah persediaan diri, penguasaan ilmu, pendekatan, kemahiran dan sikap. Hasil kajian mendapati bahawa konstruk penguasaan ilmu dan sikap pendakwah sangat penting dalam pelaksanaan dakwah masyarakat Orang Asli untuk memberi keberkesanan dalam berdakwah. Implikasi kajian ini dapat memastikan konstruk kompetensi yang dibina dapat memberi manfaat kepada pendakwah.

Downloads

Published

2023-11-30