MENELUSURI PERANAN NAHU ARAB DALAM PEMAHAMAN METAFIZIK: ANALISIS TEMATIK DARIPADA PENSYARAH BAHASA ARAB UnIPSAS

Authors

  • Muhamad Fairuz Ali
  • Kamarul Shukri Mat Teh

Keywords:

pembelajaran nahu Arab, metafizik, pengajian tinggi

Abstract

Penguasaan ilmu nahu Arab memainkan peranan penting dalam memahami teks al-Quran secara tepat dan menyeluruh, khususnya dalam aspek makna tersirat dan pemikiran metafizik yang terkandung di dalamnya. Namun begitu, kepentingan nahu Arab sering kali dilihat secara teknikal semata-mata tanpa meneliti kaitannya dengan aspek epistemologi dan penghayatan akidah. Justeru, kajian ini bertujuan menelusuri pandangan pensyarah bahasa Arab terhadap kepentingan penguasaan nahu Arab dalam konteks pendidikan tinggi bagi memahami konsep-konsep metafizik dalam al-Quran. Kajian kualitatif dengan reka bentuk kajian fenomenologi ini melibatkan enam orang pensyarah Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah. Data dikumpul melalui kaedah temu bual separa berstruktur yang dilakukan secara mendalam. Data yang diperoleh dianalisis secara tematik untuk mengenal pasti corak pemikiran dan hujahan yang dikemukakan oleh para responden. Dapatan kajian menunjukkan bahawa nahu Arab bukan sekadar alat linguistik, tetapi merupakan asas epistemologi yang penting untuk menyingkap makna tersirat dan dimensi metafizik yang terkandung dalam teks al-Quran. Pensyarah turut menekankan keperluan memperkukuh pengajaran nahu dalam kurikulum pengajian tinggi Islam bagi melahirkan pelajar yang mampu mentafsir teks al-Quran secara lebih mendalam dan berasaskan kefahaman yang tepat. Kajian ini menyarankan agar pendekatan pengajaran nahu dalam pendidikan tinggi diberi perhatian semula dengan menekankan hubung kaitnya dengan ilmu akidah, falsafah dan metafizik Islam.

Downloads

Published

2025-12-29