PENERIMAAN GOLONGAN PROFESIONAL TERHADAP PROGRAM DAKWAH DI PAHANG
Keywords:
Profesional, sejarah Islam Pahang, Dasar pelaksanaan dakwah, penerimaan program dakwahAbstract
Makalah ini mengkaji tentang penerimaan program dakwah golongan profesional di Pahang. Isu yang dikaji ialah, sejarah Islam di Pahang, program dakwah yang dijalankan oleh badan-badan dakwah di Pahang seperti Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan IKRAM.Permasalahan kajian golongan profesional di Pahang antaranya adalah kurang mendapat maklumat program dakwah, kesibukan bekerja dan permasalahan pendakwah yang kurang mendekati serta pendekatan dakwah yang tidak sesuai.Objektif kajian adalah untuk mengenalpasti tahap kefahaman, amalan agama, pengaruh, sikap, keberkesanan dakwah terhadap penerimaan program dakwah kepada golongan profesional di Pahang. Reka bentuk kajian tinjauan berpandukan Teori Perlakuan Bersebab (TPB) digunakan untuk mengetahui hubungan enam faktor tingkah laku iaitu amalan agama, kefahaman agama, sikap, pengaruh rakan, kepuasan dan keberkesanan dakwah dengan penerimaan program dakwah. Data kajian dianalisis secara deskriptif dan inferensi ANOVA sehala, korelasi dan regresi berganda. Kajian ini juga menggunakan pendekatan kuantitatif dan disokong oleh data kualitatif. Seramai 318 orang golongan profesional Melayu terlibat untuk menjawab instrumen soal selidik. Sementara itu, seramai 37 orang responden yang terdiri daripada golongan profesional, pendakwah serta organisasi terlibat dengan sesi temu bual. Kesimpulan daripada kajian menunjukkan penggunaan teori TPB dalam mengenal pasti penerimaan program dakwah dapat meningkatkan kualiti pelaksanaan program dakwah di Pahang. Implikasi kajian menunjukkan bahawa organisasi dakwah perlu mengambil perhatian terhadap faktor keberkesanan dan pengaruh rakan supaya dakwah dapat diterima oleh golongan professional dengan lebih berkesan.