AKIDAH TRANSGENDER MAK NYAH MUSLIM DAN KONSEP TAUBAT MELALUI PEMIKIRAN IMAM AL-GHAZALI

Authors

  • Norhidayah Mohamad Nawawy UMP
  • Hasan Ahmad UMP

Keywords:

Akidah, Transgender Mak Nyah, Isu Akidah, Konsep Taubat Imam al-Ghazali

Abstract

Kajian ini bertujuan untuk meneroka pengalaman transgender mak nyah Muslim, isu akidah yang mereka hadapi ketika menjadi transgender mak nyah dan di akhir kajian akan dapat menghasilkan konsep taubat yang boleh diaplikasikan kepada golongan transgender mak nyah berdasarkan pemikiran Imam al-Ghazali. Bagi kajian yang berkaitan akidah transgender mak nyah Muslim ini, pengkaji telah memilih kerangka metodologi penyelidikan yang berbentuk kualitatif dengan reka bentuk kajian kes. Selain itu, dalam kajian kes ini, pengkaji telah menggunakan seramai lima orang peserta kajian yang telah mengidentifikasikan diri mereka sebagai bekas transgender mak nyah yang telah bertaubat untuk dijadikan sebagai sampel utama dalam kajian ini. Pengkaji telah menggunakan tiga teknik triangulasi dalam pengumpulan data iaitu melalui kaedah 5 set temu bual secara mendalam, 5 set senarai semak pemerhatian dan 46 dokumen analisis manakala 5 orang peserta kajian adalah sebagai data sumber. Data yang telah dikumpulkan dianalisis menggunakan perisian NVivo-12. Kebolehpercayaan data pula diperoleh dengan mendapatkan perakuan pakar berasaskan nilai persetujuan pekali Cohen’s Kappa. Secara keseluruhannya dapatan kajian ini telah menyumbang kepada beberapa penemuan baru antaranya yang pertama, pengkaji telah mendapati gejala ini telah bermula sejak kecil, remaja sehingga meningkat dewasa dan antara faktor utama gejala ini berlaku berpunca daripada diri sendiri, keluarga, persekitaran dan rakan-rakan. Penemuan kedua yang telah diperoleh dalam kajian ini, terdapat dua isu akidah utama yang menyebabkan terjadinya gejala transgender mak nyah iaitu isu berkaitan pemahaman dan penghayatan dalam perkara al-Ilahiyyat dan al-Sam’iyyat. Manakala dalam penemuan ketiga, pengkaji telah mengenal pasti empat peringkat dalam konsep taubat oleh Imam al-Ghazali boleh diaplikasikan kepada golongan transgender mak nyah melalui ibadah penyucian hati iaitu amalan Mujahadah, Muhasabah, Mu’aqabah dan Muraqabah.

Downloads

Published

2021-02-23

How to Cite

Norhidayah Mohamad Nawawy, & Hasan Ahmad. (2021). AKIDAH TRANSGENDER MAK NYAH MUSLIM DAN KONSEP TAUBAT MELALUI PEMIKIRAN IMAM AL-GHAZALI. Jurnal Al-Sirat, 19(1), 41-57. Retrieved from https://ejournal.unipsas.edu.my/index.php/alsirat/article/view/28