KERANGKA PEMBANGUNAN KIT E-TA'AM UNTUK PENGAJARAN HADITH DALAM KALANGAN MURID-MURID SEKOLAH
Keywords:
pembangunan modul, hadith adab makan, sekolah rendahAbstract
Kajian ini merujuk kepada satu pembangunan projek inovasi dalam menghasilkan satu kit Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) khususnya dalam membantu murid untuk menguasai kemahiran membaca teks untuk matapelajaran bahasa Arab dalam topik Adab Makan. Maka kajian ini dijalankan bertujuan untuk mendapatkan gambaran sebenar sikap dan penguasaan bahasa Arab murid Tahun 5 sekolah rendah yang terlibat dalam program j-QAF secara empirikal melalui pembangunan kit yang dikenali sebagai kit e-Ta’am. Sebanyak 40 buah hadis yang berkaitan dengan adab makan dimasukkan dalam kit ini. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dan kuantitatif dengan melibatkan soal selidik dan analisis data terhadap 357 orang murid daripada 357 buah sekolah terpilih di seluruh Malaysia yang merupakan sampel kajian. Seterusnya data ujian pra dan pos dianalisis menggunakan program SPSS bagi mengukur pencapaian di antara sampel sebelum dan selepas mereka menggunakan kit e-Ta'am. Manakala data pemerhatian dianalisis secara manual bagi menunjukkan perbandingan penguasaan bahasa Arab menggunakan teks hadith murid di antara sekolah bandar dan luar bandar. Hasil penelitian menunjukkan murid berhadapan dengan masalah untuk menguasai hadith yang berkaitan adab makan seperti yang terdapat dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dengan baik. Antara faktor yang menyebabkan murid tidak dapat menguasai hadith adab makan dengan baik adalah kekurangan bahan interaktif yang digunakan dalam PdP. Oleh itu kajian ini dibangunkan sebagai medium alternatif untuk kegunaan murid dalam PdP hadith adab makan.